SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan FA SF1 | Terengganu FC vs Selangor FC | Sasar Keputusan Yang Positif

Jul 19, 2024 - FAS

Hari ini, Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi perlawanan Separuh Akhir Piala FA pertama 2024/25 menentang Terengganu FC pada jam 9:00 malam. 

Berdasarkan rekod, skuad Gergasi Merah telah memenangi 53 perlawanan dan 26 seri daripada 124 pertemuan di antara #SFCTER. Selain itu, sebanyak 240 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan #SFCTER. Kali terakhir #SFCTER bertemu dalam saingan Piala FA adalah pada tahun 2022 yang berakhir dengan keputusan 1-1 yang dijaringkan oleh Faisal Halim dan Hakim Hassan. Akan tetapi, Sang Penyu mara menerusi penentuan sepakan penalti 4-2. Namun, saingan Separuh Akhir Piala FA 2024/25 kali ini dijalankan secara timbal balik.

Menurut Safuwan Baharuddin, Kapten skuad Selangor FC, beliau mahu pasukan bersatu untuk menghadapi cabaran pusingan Separuh Akhir pertama Piala FA 2024/25, “Kami telah gunakan masa yang ada bagi membuat persiapan bagi menentang Terengganu FC pada malam ini. Kami akui keputusan bagi dua perlawanan ‘Away’ sebelum ini kurang memuaskan tetapi kami akan tetap berikan yang terbaik bagi meneruskan perjuangan ini. Biarpun keadaan sekarang tidak menyebelahi kita, namun bagi saya pasukan harus terus bersatu, insyaAllah kita akan kuat untuk menghadapi apa sahaja yang mendatang,”

“Saya juga berharap para penyokong yang akan hadir pada malam ini agar perjalanan mereka selamat pergi dan juga balik. Sama-sama kita bersatu untuk dapatkan keputusan terbaik pada malam ini.” kata Safuwan.

Bagi keberadaan pemain, dua pemain import Gergasi Merah; Yohandry Orozco dan Reziq Banihani tidak akan bersama pasukan setelah menerima layangan kad merah dalam perlawanan Suku Akhir Piala FA di Stadium MBPJ, Kelana Jaya menentang Kuching City.

Pihak pengurusan Selangor FC sentiasa berada di belakang pasukan untuk sama-sama berusaha mendapatkan kemenangan pada malam ini. Gerak terus, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!